Make your own free website on Tripod.com
 

 

November 5, 2005

Aku menangis.  Pada malam dia dikebumikan, setelah semua orang pulang.  Menangis sepuas-puas hati melencunkan bantal dengan air mata dan air liur, sama banyak.

"Abang ada.  Abang ada,"
kata Abang.

Lalu aku menangis lagi kuat mengenangkan mungkin itu saja yang aku ada.

Dan aku menangis bila aku buka buku cerita yang sudah lama aku tinggalkan kerana kesibukan kerja, gambar scan Adam pada usia 7 minggu jatuh melayang.

Dan aku menangis bila aku Google-kan "prematurity 26 weeks" ada cerita-cerita gembira tentang bayi-bayi lain yang dilahirkan seusia Adam yang berpeluang hidup, di negara maju yang keluar berperang dan membunuh bayi-bayi orang lain.  Hidup ini tidak adil.

Dan aku menangis semasa aku menulis entri-entri lepas yang menghidupkan semula Adam dalam perut angan aku.  Biar.  Biar menitik ke celah papan kunci.  Air mata dan air hidung, sama banyak.

Kemudian tangisan itu berhenti.  Kering.  Sendiri.  Mengulang baca entri-entri itu tidak lagi mengundang air mata.  Rasa asing.  Rasa seolah membaca cerita fiksyen orang lain.  Bukan cerita aku.

-----

Dan aku menangis semalam.  Takut, kerana aku tidak lagi boleh menangis walau dipaksa.  Aku menangis kerana aku takut untuk mengakui aku semakin melupakan Adam.